Pulut Kuning Dalam Adat Perkahwinan Melayu
Sepanjang menyediakan khidmat sebagai jurugambar perkahwinan di Kuala Lumpur dan juga kawasan-kawasan lain sering kali saya melihat pulut kuning menjadi salah satu elemen penting dalam majlis-majlis perkahwinan mahu pun pertunangan. Selain dari itu ia turut disediakan juga dalam beberapa majlis cukur jambul, akikah dan juga berkhatan. Pulut kuning diperbuat daripada beras pulut yang direndam di dalam air bersama dengan kunyit bagi menjadikannnya kuning. Ia kemudian dikukus dengan campuran santan kelapa. Biasanya ia dihidangkan dengan rendang daging atau ayam. Ada juga yang dihidangkan dengan serunding ataupun sambal tumis. Apakah agaknya signifikannya pulut kuning ini dalam adat perkahwinan Melayu?
Pulut kuning sebenarnya telah lama menjadi lambang dan juga adat dalam upacara tradisional. Seperti yang disebutkan di atas ianya sering disediakan pada majlis perkahwinan, pertunangan, akikah ,berkhatan dan kenduri kesyukuran. Secara amnya, pulut kuning menjadi hidangan sebagai tanda kesyukuran bagi semua majlis tersebut. Ia juga menjadi lambang bagi sesuatu pencapaian dan kejayaan memperolehi apa yang dihajati. Selain itu ia dihidangkan atau diberi kepada para tetamu sebagai tanda terimakasih dari tuan rumah.
Pada zaman dahulu pulut kuning menjadi persembahan bagi aktiviti pemujaan, perubatan dan juga tolak bala. Namun demikian dengan kesedaran ugama yang semakin berkembang dalam masyarakat Melayu amalan-amalan khurafat tersebut sudah semakin terpencil. Fungsi pulut kuning juga berubah hanya sekadar sebagai simbol kesyukuran dan juga tanda terimakasih keluarga tuan rumah kepada tetamu. Ada juga fungsi pulut kuning yang diubah menjadi lebih kontemporari. Antaranya yang biasa kita lihat sekarang adalah pulut kuning yang digubah menjadi hantaran dan pulut kuning yang dijadikan bunga pahar di mana telur dicucuk pada pulut kuning tersebut. Ada juga majlis perkahwinan yang menggantikan acara memotong kek perkahwinan dengan acara memotong pulut kuning.
Kenapa pula agaknya warna kuning yang menjadi pilihan ya? Ada setengah pendapat mengatakan bahawa warna kuning ini adalah berkait rapat dengan warna di Raja dalam kesultanan Melayu. Oleh itu warna kuning dilihat sebagai simbol penghormatan yang tinggi. Oleh itu ianya cuma dihidangkan di majlis-majlis istimewa sahaja. Tetapi pada hari ini kita boleh mendapatkan pulut kuning dikebanyakan restoran dan juga warung.
Apa-apa pun pulut kuning bersama rendang memang sedap di makan!