© Copyright 2016
NikHamidi Photography

Menjunjung Adat Perkahwinan – Part 2


  • Sumo

Sekali lagi saya bawakan anda ke majlis perkahwinan Lela & Izarul. Kali ini bagi majlis malam berinai yang diadakan pada malam 27 Disember 2014. Sebagaimana majlis akad nikah dan yang dibuat dengan penuh adat, malam berinai ini juga membawa kita ke alam nusantara yang penuh dengan warisan kebudayaannya.

Sebelum datang untuk majlis ini saya menjangkakan ianya adalah hanya satu majlis berinai biasa di mana pengantin perempuan akan menukar persalinan 3- 4 pasang baju berupa songket, cheongsam, sari, kimono dan sebagainya dan kemudian berposing di depan pelamin sekadar untuk bergambar. Namun sangkaan saya meleset sama sekali.

Menjelang Isyak jurumakeup a.k.a. mak andam dari Sanggar Masri Klasik bertungkus lumus menyiapkan pengantin. Melihat daripada pakaian yang dikenakan ianya bukanlah satu tugas yang mudah. Pakaian ala jawa bagi pengantin lelaki dan perempuan lengkap dengan perhiasan kepala disediakan oleh Sanggar Masri Klasik. Saya difahamkan perhiasan kepala pengantin perempuan merupakan dari jenis mahkota perkahwinan sunda. Pengantin lelaki pula memakai blankon iaitu songkok jawa yang dibuat dari kain batik.

Pengantin lelaki tiba untuk majlis ini dalam keadaan hujan renyai dan disambut oleh pengantin perempuan. Mereka kemudiannya duduk di ruang luar rumah bagi menyaksikan persembahan silat oleh beberapa pesilat termasuk ahli keluarga Lela sendiri. Persembahan mereka turut diiringi oleh kumpulan gamelan. Selesai persembahan pengantin dan tetamu menjamu selera dulu dibawah khemah yang disediakan. Saya sangkakan majlis sudah selesai dan boleh balik. Tiba-tiba saya lihat ada 3- 4 orang `pendekar’ berpakaian ala jawa tiba. Ingatkan mereka lewat tiba, rupanya memang ada satu upacara lagi yang akan diadakan di dalam rumah.

Nak cerita majlis apa pun saya tak tahu sangat. Namun apa yang pasti, intipati yang saya dapat lihat ianya merupakan satu upacara di mana ibu pengantin memberikan restu kepada anak perempuannya. Ibunya membawa pengantin perempuan duduk di pelamin. Setelah itu pengantin lelaki dijemput untuk duduk disamping pengantin perempuan. Setelah itu upacara silat oleh ‘pendekar-pendekar’ tadi pun bermula. Ahli keluarga bahkan pak andam pun turut dijemput mempersembahkan persilatan mereka.   Berdebar jugak saya takut kalau ‘dijemput’ untuk bersilat sama. Mujurlah dapat menyorokkan muka di belakang kamera. Hehe..

Malam Berinai

Pengantin beraksi

Malam Berinai

Lela & Izarul dalam persalinan di raja jawa

Pendekar Jawa

Pendekar Jawa

Anda boleh lihat lebih banyak gambar dari majlis berinai mereka di Nik Hamidi Photography Page.

Anda boleh juga membaca tentang majlis akad nikah mereka di sini.