Yunnan Exploration – Day 1
Alhamdulillah. Saya sekali lagi diberi kepercayaan menjadi jurugambar untuk satu private trip ke Yunnan dari 29 Ogos hingga 7 Sep 2026. Rombongan disertai oleh 21 ahli beserta dengan seorang tour leader dan seorang tourist guide di China.
Sepanjang tempoh 10 hari 8 malam tersebut terlalu banyak gambar dan kisah yang saya mahu kongsikan sebenarnya. Untuk itu saya terpaksa pecahkan posting mengikut hari agar saya dapat kongsikan lebih banyak pengalaman di Yunnan.
Kami berlepas dari KLIA pada 2150, 29 Ogos 2026 dengan penerbangan Batik Air OD 671. Flight hampir penuh dengan kebanyakannya adalah tour group dari Malaysia ke Yunnan, kalau tak silap saya ada tiga kumpulan berbeza. Penerbangan mengambil masa hampir 4 jam. Setibanya di lapangan terbang Kunming Changsui (KMG) kami terus dibawa ke tempat penginapan di Country by Radisson Hotel.
Tidur!
Next day bangun awal pagi. Selepas sarapan kami bertolak ke Dali menggunakan bas pelancong. Kami melalui jarak perjalanan lebih kurang 400 km namun tidak begitu terasa kerana sistem jalanraya di sana sangatlah canggih. Walaupun melalui kawasan berbukit tetapi jalanrayanya sangat lurus kerana mereka banyak menggunakan sistem terowong.
Dalam perjalanan kami singgah di sebuah RnR, pengalaman pertama mengunakan tandas awam di China yang banyak diperkatakan dan mendatangkan kerisauan kepada banyak pelancong terutamanya muslim. Ini kerana tandas di sana dikhuatiri kotor, terlalu terbuka dan tiada air. Alhamdulillah, pengalaman kali pertama singgah di RnR tidaklah terlalu teruk. Tandas semua bertutup dan berpintu. Kebersihan saya bagi 3 bintang. Tetapi memang benar tandasnya memang waterless. Maka bersedialah dengan botol air dan mobile bidet anda untuk beristinja’.
Setelah hampir 4 jam perjalanan kami tiba di Dali. Lawatan pertama adalah ke Ideal State Dali yang juga dikenali sebagai Santorini Dali. Ia adalah replika Santorini di Greek dengan binaan berwarna putih serta bumbung biru. Kawasan berkeluasan 1500 hektar berlatarkan Tasik Erhai dan pergunungan Cangshan. Dengan latar pemandangan yang cantik dan senibina yang menawan ianya memberikan satu pengalaman yang tidak akan dilupakan.
Selepas itu kami menuju ke Dali South Gate Mosque, yang merupakan salah satu masjid tertua di wilayah Yunnan. Mengikut data, ianya di bina semasa Dinasti Yuan (1271-1368). Ianya kemudian diubah menjadi City God Temple of Dali sebelum akhirnya diubah kembali untuk fungsi asal sebagai masjid pada tahun 1944.
Senibina masjid ini memang sangat kuat berunsur senibina China. Ianya menjadi pusat perhimpunan masyarakat Islam di Dali bagi menjalankan aktiviti sosial serta keagamaan.
Untuk sebarang pertanyaan tentang pakej Travel Photography boleh hubungi saya melalui nombor 0173749707.




































