Terma dan Syarat Perkhidmatan
Ini merupakan terma dan syarat yang perlu difahami dan menjadi memorandum persefahaman antara jurugambar (www.nikhamidi.com) dan juga pelanggan. Anda adalah dinasihatkan untuk membaca dan memahami terma dan syarat ini sebelum mempersetujui ikatan perkhidmatan dengan kami.
1. Jurugambar
1.1 Jurugambar adalah merujuk kepada jurugambar yang dilantik oleh www.nikhamidi.com untuk menjadi jurugambar rasmi pada majlis yang telah dipersetujui.
1.2 www.nikhamidi.com terdiri daripada seorang Jurugambar Utama iaitu Nik Hamidi dan beberapa orang jurugambar senior dan junior yang dilantik oleh Jurugambar Utama.
1.3 Jurugambar Utama akan meliputi fotografi untuk pakej-pakej utama. Ketersediaan jurugambar utama adalah berdasarkan pada first-come-first-serve basis.
1.4 Sekiranya jadual jurugambar utama telah penuh atau tidak dapat memenuhi jadual atas sebab-sebab tertentu maka jurugambar senior akan ditugaskan untuk meliputi majlis tersebut.
1.5 Sekiranya pada hari majlis tersebut jurugambar yang dilantik tidak dapat hadir kerana sebab-sebab diluar kawalan seperti kecemasan, sakit atau sebagainya; jurugambar terbaik seterusnya akan ditugaskan untuk menggantikan jurugambar tersebut.
2. Pelanggan
2.1 Pelanggan adalah merujuk kepada pihak yang melantik kami sebagai jurugambar untuk sesuatu majlis. Jika pakej fotografi ditaja oleh pihak tertentu maka penaja secara automatik akan menjadi pelanggan kepada perkhidmatan kami.
2.2 Pihak pelanggan adalah bertanggungjawab untuk memberikan informasi yang secukupnya untuk sesuatu majlis seperti waktu, tarikh, alamat lengkap lokasi, peta lokasi, nombor telefon dan sebagainya yang dirasakan perlu untuk sesuatu majlis.
2.3 Pelanggan bertanggungjawab untuk memastikan lokasi majlis dan juga subjek berada dalam keadaan yang memuaskan untuk fotografi.
2.4 Jurugambar tidak akan bertanggungjawab sekiranya terdapat kekurangan pada gambar akibat keadaan kurang memuaskan di lokasi seperti latarbelakang yang kurang memuaskan, pencahayaan yang tidak baik, solekan yang kurang baik dan lain-lain kekurangan yang boleh memberi kesan negatif pada fotografi. Namun begitu jurugambar akan berusaha sebaik mungkin untuk menghasilkan foto terbaik di dalam pelbagai keadaan.
3. Perkhidmatan Fotografi
3.1 Perkhidmatan fotografi kami adalah berdasarkan kepada pakej yang telah dipersetujui bersama.
3.2 Tempoh masa perkhidmatan adalah bergantung kepada pakej perkhidmatan dan waktu yang telah dipersetujui.
3.3 Caj tambahan akan dikenakan sekiranya terdapat sebarang perkhidmatan tambahan yang diminta diluar daripada pakej yang telah pun dipersetujui.
3.4 Perkhidmatan fotografi kami tidak termasuk perkhidmatan konsultansi yang memerlukan kami hadir untuk mesyuarat dengan pelanggan. Caj tambahan mungkin akan dikenakan bagi menghadiri mesyuarat.
3.5 Perkhidmatan fotografi kami tidak termasuk perkhidmatan penghantaran album dan produk.
3.6 Sekiranya tempahan dibuat melalui pihak lain sebagai perantara, kami tidak bertanggungjawab sekiranya terdapat kesalahan informasi dari pihak perantara berkaitan perkhidmatan kami.
4. Suntingan, Post Produksi, Rekabentuk dan Kreativiti
Terma suntingan dalam perkhidmatan kami adalah termasuk dan terhad kepada perkara-perkara berikut:
4.1 Suntingan pada imej-imej terpilih yang meliputi pelarasan dan pengubahsuaian warna dan juga pemotongan dan pengubahsuaian saiz imej.
4.2 Kami juga melakukan peningkatan dan pengubahan asas pada imej yang terdiri dari aras kecerahan, hue & saturation, curve serta contrast.
4.3 Pengubahan tona warna adalah termasuk penggunaan kesan seperti vintage, hitam putih serta kesan retro.
4.4 Walaupun kami berusaha untuk menghasilkan foto yang terbaik bagi anda tetapi pihak kami tidak melakukan manipulasi dan suntingan berlebihan seperti super impose, suntingan bagi menghasilkan imej seperti poster mahupun majalah, mengubah imej asal kepada hasil yang berbeza sama sekali, mengubah fizikal semulajadi anggota atau wajah subjek di dalam imej serta mengubah rupa paras, rupa kulit dan juga solekan.
4.5 Adalah bukan menjadi amalan kami untuk berunding dengan pelanggan sebelum melakukan penyuntingan. Segala suntingan dilakukan dengan berasaskan pada pengalaman luas dan kepakaran kami dan juga mengikut kesesuaian sesuatu imej.
4.6 Kami akan menghasilkan rekabentuk album menggunakan kreativiti kami sepenuhnya. Ini adalah berasaskan kepada kebebasan kreativiti dan pihak kami amat menghargai bahawa pihak pelanggan menghormati kebebasan tersebut bagi menghasilkan produk terbaik.
4.7 Kami akan memilih imej dan membuat rekabentuk keseluruhan album mengikut apa yang kami rasakan sesuai. Oleh itu adalah tidak menjadi amalan kami untuk berunding terlebih dulu dengan pelanggan sebelum memilih imej dan merekabentuk album.
4.8 Namun begitu pihak kami membenarkan pelanggan membuat pemilihan imej yang ingin dimasukkan ke dalam album sekiranya pelanggan ingin berbuat demikian.
4.9 Pelanggan yang ingin memilih sendiri imej perlu mematuhi syarat-syarat dan juga proses yang ditetapkan di dalam Manual Pemilihan Gambar bagi memastikan kelancaran proses rekabentuk dan suntingan.
5. Terma Pembayaran
5.1 Pembayaran deposit sebanyak 30% dari jumlah keseluruhan pakej perlu dijelaskan untuk pengesahan tempahan pakej fotografi. Pihak kami akan hanya membuat blocking pada kalender kami sebaik bayaran deposit sebanyak 30% ini dijelaskan. Kuantum deposit ini mungkin berbeza pada pakej promosi.
5.2 Pembayaran deposit tempahan adalah non-refundable sekiranya pihak pelanggan membatalkan tempahan mereka walau atas apa sebab sekalipun.
5.3 Pembayaran kedua sebanyak 30% dari jumlah pakej perlu dijelaskan dalam masa sebulan sebelum majlis berlangsung. Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan ketidakhadiran jurugambar pada hari majlis dan bayaran pendahuluan tidak akan dipulangkan.
5.4 Pembayaran ketiga sebanyak 40% perlu dijelaskan pada hari majlis ataupun selewat-lewatnya dalam masa seminggu selepas majlis. Sebarang proses suntingan hanya akan dimulakan setelah kami menerima bayaran ketiga. Kegagalan menjelaskan bayaran tersebut akan menyebabkan kelewatan pada proses suntingan dan juga post produksi. Pihak kami juga berhak untuk tidak menyerahkan atau melepaskan atau menyiarkan sebarang bentuk softcopy imej jika pelanggan tidak menjelaskan bayaran ketiga.
5.5 Bagi pelanggan dari luar Lembah Kelang bayaran luar kawasan yang terdiri dari caj perjalanan akan dikenakan. Caj penginapan juga akan dikenakan sekiranya ada keperluan bermalam. Caj ini adalah bergantung pada kadar semasa petrol, tol serta caj penginapan. Adalah menjadi tanggungjawab pelanggan untuk memberi maklumat lokasi yang tepat bagi membolehkan pengiraan caj yang betul. Jurugambar berhak untuk mengenakan bayaran tambahan dari yang telah dipersetujui sekiranya pelanggan tidak memberikan maklumat tepat berkenaan lokasi.
5.6 Pembayaran boleh dibuat melalui bank transfer, tunai, direct debit atau pun dengan cek sahaja.
5.7 Bagi pembayaran melalui bank transfer ataupun direct debit sila simpan slip bayaran sebagai bukti pembayaran. Tiada resit akan dikeluarkan bagi pembayaran jenis ini kecuali diminta oleh pelanggan.
5.8 Bagi pembayaran tunai resit rasmi akan dikeluarkan serta merta. Pembayaran melalui cek pula resit rasmi hanya akan dikeluarkan setelah cek tersebut berjaya ditunaikan.
6. Penyerahan dan Pengambilan Produk
6.1 Tempoh standard kami menyiapkan produk adalah antara 8 hingga 12 minggu. Namun begitu tempoh ini adalah bergantung pada keadaan semasa. Bagi majlis yang berlangsung dalam tempoh puncak seperti cuti sekolah atau hujung tahun, tempoh menyiapkan produk mungkin menjadi lebih lama. Kami akan memaklumkan kepada pelanggan sekiranya terdapat kelewatan.
6.2 Sebagaimana tercatat di dalam perenggan 5.4 pihak kami berhak untuk tidak menyiapkan, melewatkan proses atau atau tidak menyerahkan produk sekiranya bayaran tidak dijelaskan dalam tempoh yang ditetapkan.
6.3 Kami akan memaklumkan kepada pelanggan apabila produk telah siap untuk pengambilan.
6.4 Sebagaimana tercatat dalam perenggan 3.5 perkhidmatan penghantaran produk yang telah siap tidak disediakan. Adalah menjadi tanggungjawab pelanggan untuk mengambil sendiri produk yang telah siap di lokasi kami. Namun begitu kami sedia mempertimbangkan untuk menghantar produk ke lokasi berdekatan pada waktu yang bersesuaian dan telah dipersetujui.
6.5 Kami boleh menghantar produk melalui perkhidmatan Lalamove, Grab delivery atau perkhidmatan seumpamanya. Namun begitu segala caj penghantaran perlu dijelaskan oleh pelanggan terlebih dahulu.
6.6 Perkhidmatan penghantaran melalui kurier boleh dibuat untuk pelanggan di luar Lembah Kelang sahaja. Caj perkhidmatan dan pembungkusan perlu dibayar oleh pelanggan terlebih dahulu sebelum penghantaran dibuat.
6.7 Bagi penghantaran melalui 6.5 adn 6.6 di atas kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kerosakan.
6.8 Sekiranya pelanggan tidak mengambil produk tersebut dalam tempoh tiga puluh hari (30) hari dari tarikh dimaklumkan pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kerosakan atau kehilangan produk tersebut atas sebarang sebab sekalipun.
6.9 Selaras dengan perkembangan teknologi terkini, softcopy gambar tidak lagi diberi melalui DVD, VCD ataupun pendrive. Pihak kami akan memuatnaik gambar ke Google Drive bagi membolehkan pelanggan memuatturun gambar. Pelanggan adalah dinasihatkan untuk memuatturun gambar dalam tempoh yang telah ditetapkan bagi mengelakkan kehilangan gambar.
6.10 Sekiranya pelanggan tetap mahukan salinan gambar di dalam pendrive, pelanggan dikehendaki membayar kos pendrive tersebut.
7. Jaminan
7.1 Kami memberi jaminan sebulan dari tempoh siap bagi produk-produk seperti DVD; VCD; album dan isinya; dan frame beserta gambar.
7.2 Kami tidak akan bertanggungjawab sekiranya terdapat kerosakan yang disebabkan oleh pelanggan atau pun kerosakan bagi produk yang dihantar melalui courier.
7.3 Kami juga tidak akan bertanggungjawab keatas kerosakan bagi produk yang tidak diambil dalam tempoh tiga puluh hari (30) hari dari tarikh dimaklumkan.
8. Lain-lain Terma
8.1 Bagi sebarang sebutharga yang dikeluarkan tempoh sah laku adalah 21 hari dari tarikh ianya dikeluarkan.
8.2 Kami berhak untuk menyiarkan sebarang imej melalui laman sesawang, laman sosial, blog dan juga percetakan untuk tujuan promosi, pengiklanan dan juga pemasaran.
8.3 Pihak jurugambar kami tidak menerima sebarang handphone untuk mengambil gambar dari pihak tetamu disepanjang majlis berlangsung.
Nik Hamidi Nik Lah
Principal Photographer
NikHamidi Photography
