Yunnan Exploration – Day 2
Untuk hari kedua kami sekali lagi kena check out awal pagi kerana kami akan bertolak ke Lijiang pula. Sebelum checkout kami bersarapan dulu di hotel. Jarak antara Dali dan Lijiang tidaklah begitu jauh iaitu hanya kira-kira 170km sahaja.
Sebelum ke Lijiang kami singgah dahulu ke Renli Huayu Pasture yang juga dikenali sebagai Dali Flower Sea. Ia terletak di daerah Xizhou, Dali. Tarikan Kawasan ini ladang bunga yang luas berlatarkan Gunung Cangshan. Ia sangat popular sebagai tempat bergambar dan persinggahan pelancong. Setelah hampir sejam di ladang bunga ini kami meneruskan perjalanan ke lokasi berikutnya.
Destinasi kami adalah ke Erhai Ecological Corridor (EEC). Laluan ini membawa kami disepanjang Tasik Erhai yang luas dan membiru. Erhai Ecological Corridor ini merupakan jaluran pemandangan, kawasan konservasi serta jalur pelancongan yang terbentang disepanjang Tasik Erhai dan berlatar Gunung Cangshan.
EEC dijadikan kawasan bebas kenderaan peribadi seperti kereta mahupun motorsikal. Ianya hanya khusus untuk pejalan kaki, penunggang basikal dan bas pelancongan letrik yang disediakan. Jangan terkejut kerana jaluran yang mengelilingi tasik ini adalah 129km! Dah macam dari Kuala Lumpur nak ke Temerloh. Begitulah besarnya tasik ini. Jadi lupakanlah niat nak berbasikal santai-santai mengelilingi tasik ini.
Aktiviti yang dapat dijalankan di sini adalah menyertai tarian tradisi suku kaum Bai. Tarian ini menggambarkan kegembiraan, keharmonian serta memberi sambutan kepada pengunjung. Anda juga boleh menyewa kostum jika ingin memakainya. Aktiviti berbasikal juga sangat popular dengan sewaan yang sangat minimal. Selain itu anda boleh juga menaiki karavan muzik yang lengkap dengan snek, minuman dan juga karaoke.
Akhir sekali sebelum ke Lijiang, kami singgah di kampung komuniti Muslim tempatan. Di situ kami berpeluang merasai Muslim Home Visit sambil beramah mesra dengan penduduk tempatan. Kami turut berpeluang melihat proses penyediaan Rushan iaitu snek susu tradisional Yunnan.
Setelah selesai lawatan tersebut kami seterusnya singgah untuk makan tengahari sebelum menyambung perjalanan ke Lijiang. Setibanya di Lijiang kami terus check-in ke hotel Manbohaoting atau juga disebut Manbai Haoting hotel. Sebuah hotel yang tidaklah besar tapi ada sesuatu yang menarik akan saya kongsikan tentang hotel ini nanti di media sosial saya. Paling best saya dapat bilik yang tingkapnya mengadap puncak Jade Dragon Snow Mountain.

































