15 Tips Menjimatkan Belanja Untuk Majlis Perkahwinan
Tentu kita semua sedia maklum tentang keadaan ekonomi yang agak suram ketika ini. Ia bukan saja melanda negara kita bahkan juga banyak negara-negara lain. Keuntungan syarikat semakin berkurangan, harga barangan dan perkhidmatan juga semakin meningkat.
Bagi pasangan yang sedang bercinta, rancangan berkahwin terpaksa diteruskan juga. Mungkin ada yang terpaksa menangguhkan rancangan berkahwin namun rasanya jumlahnya agak sedikit. Kebanyakannya meneruskan rancangan yang telah diatur tapi dengan bajet perkahwinan yang lebih rendah. Tentu ada yang tertanya-tanya, “Nak jimat macam mana lagi bang? Semua barang-barang dah mahal. Kopak saya bang!”.
Di sini kami kongsikan beberapa tips yang diharap dapat membantu anda mengurangkan bajet untuk majlis perkahwinan anda nanti.
- Merancang dengan teliti senarai jemputan – ini dapat membantu anda menetapkan bajet untuk katering, kad jemputan, cenderamata, kanopi dan sebagainya.
- Jika ditempat anda masih mengamalkan budaya gotong royong (orang Jawa kata rewang) by all means teruskan tradisi ini. Banyak belanja yang dapat dijimatkan. Kita hanya membeli barangan mentah untuk dimasak. Dalam pasukan gotong royong ini biasanya ada tukang masak, tukang sediakan bahan mentah, tukang cuci pinggan mangkuk, juruhidang dan sebagainya. Namun begitu jangan lupa- sedikit penghargaan amat bermakna buat mereka. Hulurlah sedikit cenderamata. Kemeja T bercetak pun boleh dapat murah-murah dipasaran.
- Hantaran perkahwinan – kurangkan jumlah hantaran yang perlu dibawa. Hindarkan sikap nak lawan – kawan anda kahwin bawak 7 hantaran, lantaran itu anda nak bawak 9 dulang. Tak perlu banyak-banyak. Bawa yang basic dan penting. Kalau boleh pilih barang yang berguna. Memang ada yang bawa hantaran Playstation, hantaran gitar, Iphone 6 Plus – dia orang mampu biarkan lah. Buat mengikut kemampuan. Rancang pembelian dengan teliti – jika nak murah belilah semasa sale diadakan.
- Gubahan hantaran – jika anda ada kemahiran adalah menjimatkan untuk menggubah sendiri. Jika tidak minta bantuan dari rakan-rakan atau saudara-mara yang mahir. Kadar tempahan gubahan hantaran dipasaran kini adalah antara RM80 hingga RM200 satu dulang bergantung pada bahannya. Ada yang lebih mahal. Jika ada 9 dulang dah berapa tu. Harga gubahan menggunakan fresh flower memang mahal. Jika nak save budget gunakan alternatif bunga tiruan. Disamping murah ia juga boleh digunakan kembali sebagai hiasan selepas majlis perkahwinan.
- Hiasan pelamin – gunakan bunga tiruan menggantikan fresh flower. Memanglah fresh flower itu indah dan nampak gah. Tapi harganya pun gah juga.
- Pakaian perkahwinan – nak sewa atau tempah? Persoalan ini memang selalu timbul. Surveylah beberapa butik pengantin untuk mendapat harga yang sesuai. Kadang-kadang kita rasa sewa lebih murah, tetapi rupa-rupanya ada juga yang harga beli jauh lebih murah dari harga sewa. Jadi kena pandai cari. Ada juga andaman yang menawarkan anda pakaian baru tapi pada harga yang murah. Ini biasanya untuk pengantin bersaiz standard kerana pakaian ini akan disewakan kepada pelanggan lain pula.
- Adakan majlis akad nikah dan persandingan dihari yang sama. Ini dapat menjimatkan kos katering kerana penyediaan makanan adalah sekali sahaja. Jika perlu dilakukan berlainan hari, hadkan jemputan untuk majlis akad nikah kepada saudara-mara terdekat dan kawan rapat sahaja.
- Gabungkan majlis resepsi. Bagi pasangan dari lokasi yang berdekatan adalah menjimatkan untuk mengadakan majlis resepsi pihak lelaki dan perempuan serentak. Dengan cara ini sewaan lokasi (dewan), pelamin dan katering untuk majlis dapat dikongsi bersama. Disamping itu, dengan kombinasi tetamu dari kedua belah pihak biasanya kos katering per head dapat dikurangkan. Disamping jimat wang, tenaga dan masa pun dapat dijimatkan kerana kedua belah pihak hanya perlu hadap satu majlis sahaja.
- Gabungkan majlis dua pasangan. Lebih kurang seperti point nombor 8 di atas, ia menggabungkan resepsi untuk dua beradik. Ada beberapa aspek yang perlu diambil perhatian untuk perkahwinan dua beradik serentak. Sila lihat artikel Majis Persandingan Dua Beradik Serentak untuk tips perkahwinan serentak.
- Biasanya perkhidmatan berkaitan dengan perkahwinan adalah lebih mahal pada musim cuti sekolah berbanding waktu lain. Ini adalah kerana musim cuti sekolah adalah peak season bagi industri perkahwinan. Oleh itu kalau boleh rancanglah tarikh perkahwinan anda diluar peak season.
- Di zaman ini kebanyakan komunikasi adalah melalui internet dan whatsapp. Maka itu rasanya tak perlulah menghabiskan wang yang banyak untuk mencetak kad jemputan. Kebanyakan orang lebih suka menerima kad jemputan dalam bentuk softcopy yang boleh disimpan di dalam smartphone. Jika perlu juga mencetak kad, buatlah dalam jumlah yang minima. Menggabungkan jemputan pihak lelaki dan perempuan dalam satu kad juga merupakan idea yang baik.
- Buat checklist keperluan untuk majlis anda. Ini bagi memastikan semuanya telah tersedia dan mengelakkan pembelian disaat akhir. Biasanya kita tak sempat nak survey jika membuat pembelian disaat akhir dan kemungkinan terpaksa membayar pada harga yang lebih mahal.
- Survey, survey, survey! Ya, ini sangat penting supaya anda mendapat harga yang berpatutan. Disamping itu sila kaji isi kandungan tawaran dengan teliti. Jangan mudah rambang mata dengan tawaran perkhidmatan atau barangan yang murah tetapi banyak kos tersembunyi dan akhirnya anda terpaksa menambah wang.
- Sediakan belanjawan yang realistik, dan yang paling penting ikut belanjawan tersebut. Kadang-kadang ada orang menyediakan belanjawan tetapi tidak mengikutnya sebaliknya mengikut nafsu dan keinginan semasa membeli. Stick to your budget!
- Tempah perkhidmatan perkahwinan seperti katering, kanopi, pelamin, andaman, jurumakeup dan fotografi semasa promosi. Biasanya mereka akan mengadakan promosi dan diskaun dari masa kesemasa. Ikuti perkembangan dan pengumuman mereka.
- Untuk perkhidmatan fotografi dapatkan pakej terbaik dari kami. Dengan pengalaman luas lebih 8 tahun, kami menawarkan harga yang berpatutan tanpa caj tersembunyi. Kami juga menawarkan perkhidmatan fotografi berdasarkan pada apa yang perlu sahaja. Namun begitu bagi yang inginkan pakej premium kami juga ada menawarkannya. Sila LIKE Facebook page kami NikHamidi Photography supaya anda tidak terlepas tawaran-tawaran hebat kami. Sila juga daftar sebagai ahli di website kami DAFTAR DI SINI untuk menerima tawaran-tawaran diskaun kami.
Akhir kata dari kami, buatlah persiapan dengan bijak. Jangan tunggu last minute.