Majlis Perkahwinan Serentak


  • Sumo

Sekarang ni dah banyak ibubapa yang mengadakan majlis perkahwinan anak-anak mereka secara serentak. Saya sendiri pernah menghadiri beberapa majlis yang diadakan serentak untuk dua pasangan pengantin. Dalam akhbar semalam, 16 April 2012 ada melaporkan tentang majlis perkahwinan untuk lima beradik sekaligus. Tentulah meriah jadinya lima orang anak bersanding serentak.

 

Mari kita lihat apakah pro dan kontra jika majlis perkahwinan diadakan serentak.

 

Kita mulakan dengan yang baik-baik dulu.

 

  1. Menjimatkan kos katering – walaupun secara keseluruhan bayaran sekaligus yang kena dikeluarkan tentunya agak tinggi tetapi secara purata ianya lebih rendah. Ini adalah benar bagi ahli keluarga dan saudara-mara pengantin. Jemputan yang dikeluarkan hanya sekali. Jadi bapa saudara, mak saudara, sepupu, atuk, nenek, kawan-kawan ibubapa hanya berkumpul sekali secara serentak. Kalau dibuat lain-lain waktu tentu kos lebih tinggi kerana perlu menjemput mereka dua, tiga atau berkali-kali.
  2. Kad jemputan – kos percetakan juga tentu lebih rendah kerana jemputan boleh dibuat dalam satu kad sahaja. Sebagaimana yang kita tahu kos percetakan secara purata akan lebih rendah jika kita mencetak dalam jumlah yang banyak.
  3. Sewa dewan – jika majlis diadakan di dewan maka bayaran penyewaan hanyalah sekali sahaja. Begitu juga dengan bayaran penyewaan kerusi dan kanopi. Mungkin keluarga hanya perlu menambah sedikit jumlah kerusi meja dan kanopi.

 

Namun begitu beberapa perkara berikut perlu juga diambil kira jika mahu mengadakan majlis serentak:

 

  1. Bayaran sekaligus yang tinggi perlu dikeluarkan kerana semua majlis dibuat serentak.
  2. Adik-beradik perlulah sepakat dalam menentukan halatuju majlis. Tak bolehlah setiap seorang mahukan warna tema yang berlainan. Nanti majlis akan jadi macam sarkis la pulak kan. Bukan setakat warna tema sahaja, mereka juga perlu sepakat untuk menentukan jenis dan konsep cenderamata, pelamin, hiasan, aturcara majlis dan sebagainya. Jadi sedikit sebanyak pengantin tak boleh ikut personal taste mereka sendiri.
  3. Kesesakan – apabila mengadakan majlis perkahwinan serentak tentunya kesesakan tidak dapat dielakkan. Ini kerana jumlah tetamu akan berganda. Kesesakan ini mungkin dari segi tempat letak kereta, beratur panjang di tempat mengambil makanan, meja penuh, kesesakan laulintas dan sebagainya.  
  4. Layanan kepada keluarga pasangan pengantin – layanan yang sama rata haruslah diberi. Jika keluarga pengantin A ada lima jenis lauk dimeja VIP, maka keluarga pengantin B juga haruslah ada perkara yang sama supaya tidak timbul cakap belakang-belakang nanti. Seelok-eloknya bahagikan tugas agar ada yang menjaga keluarga A dan ada yang menjaga keluarga B.
  5. Masalah pelamin – kalau setakat dua pasangan masih ok. Tapi kalau dah sampai lima pasangan tentulah memerlukan tempat yang besar untuk membina pelamin. Alternatifnya ialah pengantin bersanding secara bergilir-gilir – mungkin sorang 30 minit ke?
  6. Majlis bertandang perlu dirancang dengan teliti kerana mustahil boleh dibuat serentak pula. Jadi perbincangan dengan keluarga pihak-pihak yang lagi satu perlu dbuat bagi merancang kalendar dengan betul.
  7. Hadiah pengantin – jika tetamu tidak menulis betul-betul nama pengantin tentu nanti akan timbul kekeliruan tentang siapa yang berhak keatas hadiah yang diterima. Jangan nanti ada pertikaian pulak tentang hak hadiah dan juga wang yang diterima.
  8. Timing perlu tepat – dalam majlis yang diadakan serentak, keluarga pengantin yang datang perlu mematuhi waktu yang ditetapkan agar tidak menyusahkan pihak lain. Jika tidak dapat menepati waktu ia akan membuatkan pihak lain tertunggu-tunggu dan akan menimbulkan kemarahan.

 

Eh eh! banyaknya yang kontra berbanding pro?? Sebenarnya bukan kontra. Sebagaimana yang saya katakan tadi, ianya adalah perkara-perkara yang perlu diambil kira agar majlis berjalan lancar sebelum, semasa dan sesudah.

 

Renung-renungkan, selamat berkahwin! Dan seperti biasa pendapat dan input anda amat dialu-alukan.