
Bunga Telur Perkahwinan
Semasa saya kecik-kecik dulu teringat lagi kalau mak dan ayah pergi ke kenduri orang kahwin apa yang paling menyeronokkan ialah bila dapat cenderamata dari keluarga pengantin. Pada zaman tersebut cenderamata memang berupa telur rebus. Berebut-rebutlah kami adik beradik untuk memakan telur tersebut. Apatah lagi bila dimakan dengan kicap, lagi sedap!Cenderamata telur memang adat pada zaman tersebut. Apa yang membezakannya ialah bagaimana bunga telur itu digubah. Ada yang mengisi ke dalam bakul plastik kecil, ada yang menggubahnya menjadi seperti buah bertangkai, ada yang mengisinya ke dalam bekas span berbentuk arnab dan macam-macam lagi. Bagi yang lebih berada ianya diletakkan ke dalam bekas kaca, porcelain mahupun kristal.
Sehingga kini sebenarnya saya masih tertanya-tanya apakah sebenarnya rasional pemberian telur itu. Belum ada jawapan-jawapan jelas yang ditemui. Namun ada juga beberapa laman blog yang mendakwa bahawa pemberian telur sebagai cenderahati ada simbolik disebaliknya. Bagi orang-orang tua, telur adalah merupakan permulaan kehidupan. Ia melambangkan kesuburan. Ianya bagaikan satu doa dan harapan supaya pasangan tersebut subur dan mendapat zuriat.
Ada tak sesiapa dari anda yang tahu jika ada simbolik-simbolik lain disebalik bunga telur ini? Jika ada jangan lupa kongsikan bersama ya.