Peranan Daun Sirih Dalam Adat Perkahwinan Melayu
Saya pasti jika anda pergi ke majlis perkahwinan mahu pun pertunangan masyarakat Melayu anda pasti akan melihat sirih junjung di dalam majlis tersebut. Ianya merupakan sesuatu yang tidak akan ditinggalkan dan menjadi satu perkara yang wajib. Dulu saya tidak begitu perasan akan hal ini, tetapi semenjak bergiat dalam bidang fotografi perkahwinan saya mula tahu akan perkara ini. Setiap kali mengambil foto hantaran pastinya daun sirih yang digubah menjadi sirih junjung merupakan perkara wajib dalam deretan hantaran dari kedua belah pihak.
Dari situ timbul minat untuk saya mencari jawapan apakah signifikannya daun sirih ini dalam adat budaya kita. Menurut sejarahnya masyarakat dulu-dulu sering menanam sirih di rumah mereka kerana khasiat yang dimiliki oleh sirih. Khasiatnya yang banyak itu menjadikan ia satu elemen penting dalam perubatan tradisional. Antara khasiat sirih yang diketahui ialah bertindak sebagai antiseptik pada luka, memanaskan badan, mengurangkan bau nafas, mengurangkan kesakitan akibat gigitan serangga dan menyembuhkan demam. Selain itu sirih juga sering digunakan untuk menyembuhkan ulser, batuk, sakit perut, bengkak, bisul dan juga resdung. Sirih juga dipercayai dapat menurunkan kadar glukosa bagi penghidap kencing manis. Saya juga sering melihat kanak-kanak yang mengalami hidung berdarah akan disumbatkan segulung daun sirih ke dalam rongga hidung mereka bagi menghentikan pendarahan.
Bagi kaum wanita pula daun sirih sering dijadikan bahan penjagaan kecantikan kerana ia mampu menghaluskan kulit. Ia juga digunakan sebagai disinfektan bagi mencuci alat sulit wanita dan juga keputihan.
Sirih juga memainkan peranan dalam dunia perbomohan dan perubatan tradisional. Sering kali kita melihat bomoh Melayu menggunakan sirih sebagai elemen penting dalam jampi serapah mereka.
Itu dari segi khasiatnya. Lalu, apakah pula kaitannya dengan perkahwinan? Daun sirih sebenarnya dipercayai dapat menambahkan nafsu seks. Jadi memang elok sangatlah untuk pengantin baru. Tapi ini bukanlah sebab utama signifikannya daun sirih dalam adat perkahwinan Melayu. Ia berkait dengan sejarah dan cara hidup masyarakat dahulu kala.
Dalam kehidupan masyarakat dahulu kala, sirih merupakan bahan penting dalam adat bertandang dan ziarah. Apabila ada orang datang kerumah maka biasanya tuan rumah akan menjemput mereka naik ke rumah menjamah sirih dan pinang. Amalan ini menjadi salah satu adat pembuka bicara. Tetamu yang datang juga turut mengamalkan membawa daun sirih sebagai buah tangan kepada tuan rumah. Maka itulah apabila rombongan merisik atau meminang datang mereka akan membawa bersama daun sirih sebagai buah tangan kepada tuan rumah. Bagi tuan rumah pula mereka akan membalasnya dengan menyuakan pula sirih mereka. Seterusnya mereka akan sama-sama menjamah dulu sirih ini dengan campuran pinang dan kapur sebelum memulakan bicara dan rundingan. Amalan ini sebenarnya mencerminkan kelembutan adat budaya Melayu kita.
Sirih ini dikaitkan dengan sifat kesopanan dan kelembutan hinggakan cara pemakanan sirih itu sendiri ada caranya yang mencerminkan maksud tersirat. Jari manis melambangkan sesuatu yang indah dan sopan, maka itu jari manis hendaklah digunakan dalam menjalinkan campuran antara kapur dan sirih.
Sirih juga seringkali dicerminkan sebagai `daun adat’ atau pun `daun budi’ yang tak dapat dipisahkan dengan adat budaya Melayu. Selain itu ia juga sering digunakan dalam kata-kata beradat dan berlapik seperti pantun berikut:
Makan sirih berpinang tidak
Pinang ada di bawah tangga
Makan sirih mengenyang tidak
Kerana budi dengan bahasa
Amalan membawa sirih itu terus segar hingga ke hari ini, dan diharap ianya akan diteruskan. Apa yang berbeza ialah amat jarang sekali daun sirih itu dimakan sekarang. Ini mungkin kerana masyarakat sekarang tidak lagi gemar memakan sirih. Namun peranannya tetap penting. Dalam deretan hantaran sirih junjung adalah penghulu hantaran. Maka itu apabila menyusun hantaran hendaklah dipastikan sirih junjung terletak dikepala hantaran. Susunannya pula bergantung kepada kemahiran penggubah itu sendiri. Dizaman dulu sirih junjung ini seringkali disusun tinggi. Sekarang mungkin susun aturnya agak berbeza. Namun peranannya tetap sama.
Bagi anda yang ingin melangkah kealam perkahwinan diharap supaya dapat meneruskan kesinambungan budaya kita ini. Jika ada yang tidak tahu sejarahnya, kongsikanlah artikel ini dengan mereka melalui butang perkongsian di bawah ini.