Fotografi Perkahwinan Dr Diana Sukra & Dr Fakruradzi
Baru-baru ini saya diberi peluang untuk menjadi jurugambar rasmi majlis perkahwinan sepasang doktor di Kuala Terengganu. Saya telah berangkat ke Kuala Terengganu dengan penerbangan Firefly dari Subang Skypark. Setibanya di sana Dr Diana dan juga adik lelakinya yang juga bakal seorang doktor telah pun menunggu. Kecik aje orangnya Dr Diana ni rupanya. Selama ini kami cuma berinteraksi melalui e-mail dan internet. Mereka terus menghantar saya ke hotel penginapan untuk berehat dan menyiapkan peralatan.
Ketika mula-mula sampai ke rumah pengantin saya tertarik dengan beberapa struktur berupa kerusi, meja dan juga buaian yang diperbuat dari hasil-hasil pokok – penggunaan bahagian akar, batang, dahan dan sebagainya. Ianya memenuhi laman rumah tersebut. Rupa-rupanya semua ini dibuat sendiri oleh bapa pengantin yang memang meminati bidang tersebut. Setelah berbual-bual baru saya tahu rupanya bapa Diana juga merupakan seorang doktor perubatan. Wah! Nampaknya ini sebuah keluarga doktor.
Setelah menjamah sedikit pulut kuning dengan rendang ayam, saya pun memulakan tugasan. Senibina rumah ini memang menarik – saya agak ini tentunya idea yang dicurahkan bapa pengantin yang meminati seni pertukangan kayu.
Upacara akad nikah dijalankan pada waktu pagi. Pasangan pengantin mengenakan pakaian serba putih. Hanya dengan sekali lafaz kedua-dua doktor ini sah bergelar suami-isteri. Setelah selesai upacara menyarung cincin dan membatalkan air sembahyang pengantin bersiap untuk majlis bersanding pula.
Kali ini mereka memakai warna tema merah jambu. Pengantin berarak masuk diiringi pembawa dulang hantaran dan terus dibawa ke pelamin yang terletak di ruang atas rumah tersebut. Memang tidak ada masalah untuk menempatkan tetamu di ruang tingkat atas yang agak luas.
Selesai adat bersanding dan bergambar keluarga pengantin turun untuk acara makan beradab. Selepas itu mereka kembali semula ke tingkat atas untuk acara memotong kek perkahwinan dan seterusnya bergambar dengan sahabat handai dan saudara mara. Setelah selesai semua acara tersebut, ada satu lagi agenda yang perlu kami lalui iaitu sesi outdoor photography.
Setelah berbincang dengan pengantin dan adik-adiknya kami mengambil keputusan untuk menuju ke TER iaitu singkatan kepada Trengganu Equestrian Resort yang terletak di Kuala Ibai. Tempat yang terletak di kawasan lagun itu juga bersebelahan dengan masjid terapung yang memang cantik.
Sesi outdoor photography ini berakhir hampir pukul 6.30 petang. Kalau ikutkan hati memang saya mahu teruskan sesi sehingga pukul 7 atau 7.30 tapi memikrkan flight balik ke KL pada jam 9.00 malam maka saya terpaksalah saya melupakan hajat tersebut. Ditambah pula dengan pesta Jom Heboh TV3 yang diadakan di Kompleks Sukan Kuala Trengganu pada hari itu menyebabkan jalan ke lapangan terbang Sultan Mahmud agak sesak. Jadi saya tak berani mengambil risiko – takut tertinggal flight.
Pada malam itu saya menaiki kapalterbang dengan beberapa selebriti tanahair yang mengambil bahagian dalam Jom Heboh iaitu Fizo Omar, Izani, Dani, Maria Tunku Sabri, Aidid Marcello dan beberapa lagi yang lain. Bila melihat peralatan fotografi yang saya bawa ada penumpang yang bertanya menyangka saya krew yang terlibat dalam Jom Heboh juga. Saya cuma krew Jom Sebok aje… hehee..
Ok lah..apa-apa pun kita layan foto kahwin ini… jom!
Saya sukakan refleksi pada lantai rumah ini.
Terdapat banyak lagi foto di Official Facebook saya atau Flickr saya.
Jurugambar dan Editor:
Nik Hamidi
Partner/Principal – Pixelworks Photography
6017-3749707 / 6016-3937067