Adat Perkahwinan Melayu
Sudah jumpa idaman hati? Dah ambil keputusan untuk berkahwin dengannya? Nak terus melamar ke? Sabar. Tunggu dulu. Masyarakat Melayu penuh dengan adat istiadat berkaitan dengan perkahwinan. Adat istiadat ini seboleh-bolehnya eloklah dipelihara untuk mengekalkan identiti bangsa kita. Oleh itu pada kali ini saya akan mengupas sedikit sebanyak tentang adat istiadat bangsa kita berkenaan dengan perkahwinan ini.
Biasanya untuk menjodohkan dua insan adat pemulanya ialah Merisik. Sebagaimana perkataan merisik itu sendiri yang bermaksud menyiasat, menyelidik atau mencari maklumat. Sila rujuk link Kamus DBP ini untuk maksudnya. Adat merisik ini merupakan satu upacara di mana wakil pihak lelaki akan bertemu dengan wakil pihak perempuan. Pihak lelaki biasanya akan diwakili oleh ibubapa atau ibu/bapa saudara ataupun saudara-mara terdekat. Mereka akan bertandang ke rumah pihak perempuan dengan membawa sebentuk cincin. Dalam pertemuan kedua belah pihak ini, wakil dari pihak lelaki akan bertanya samada si gadis sudah ada yang berpunya ke belum. Mereka juga akan menerangkan hajat kedatangan. Biasanya wakil yang berbincang ini akan menggunakan ayat-ayat yang berkias dan berlapik. Inilah satu lagi keistimewaan adat Melayu kita. Jika persetujuan telah dicapai maka pihak lelaki akan menyerahkan cincin yang akan menjadi cincin tanda – bererti si gadis sudah ditanda oleh si teruna. Mereka kemudiannya akan menetapkan tarikh untuk istiadat peminangan pula.
Dalam istiadat meminang wakil dari pihak lelaki yang kebanyakannya terdiri dari orang-orang berpengalaman akan datang ke rumah si gadis untuk melamarnya. Jika mengikut adat dulu-dulu pihak perempuan akan diberi tempoh bertenang yang digelar bertangguh. Tempoh bertangguh ini ialah jangkawaktu di mana pihak perempuan diberi tempoh untuk berbincang dengan ahli keluarga terdekat. Setelah tamat tempoh bertangguh ini maka wakil dari pihak perempuan yang juga terdiri dari orang-orang lama akan ke rumah pihak lelaki bagi menyatakan pendirian mereka. Jika peminangan tersebut diterima mereka akan berbincang pula tentang mas kahwin, jumlah hantaran, wang belanja dan sebagainya. Mereka juga akan menetapkan tarikh untuk majlis pertunangan.
Upacara bertunang merupakan lanjutan dari peminangan yang telah diterima tadi. Pada tarikh yang telah dipersetujui rombongan dari pihak lelaki akan menghantar sebentuk lagi cincin yang menjadi simbol bahawa peminangan dari pihak lelaki telah pun diterima. Upacara bertunang ini juga mengesahkan bahawa anak gadis tersebut sudahpun dimiliki dan kini bergelar tunangan orang. Pada hari tersebut kedua-dua belah pihak akan berbincang tentang tarikh untuk melangsungkan pernikahan. Selain dari cincin pertunangan, rombongan lelaki juga akan membawa barangan lain sebagai hantaran. Hantaran ini jumlahnya adalah dalam nombor ganjil iaitu seperti 7, 9, 11 dan sebagainya. Biasanya barang-barang hantaran pertunangan ini terdiri daripada sepasang kain, selendang, kuih-muih, manisan, coklat, kasut dan yang paling penting adalah sirih junjung sebagai pelengkap adat. Hantaran ini akan dihias cantik – biasanya mengikut warna tema. Pihak perempuan pula akan membalas hantaran ini dengan lebihan dua dulang. Maknanya jika pihak lelaki membawa tujuh dulang hantaran, pihak perempuan akan membalas sembilan dulang. Hantaran pihak perempuan kepada lelaki biasanya terdiri dari sepasang baju melayu atau kain, kasut atau capal, kuih-muih, manisan, coklat dan tidak ketingggalan sirih junjung sebagai balasan.
Berapa lama tempoh pertunangan itu pula adalah bergantung kepada persetujuan kedua-dua belah pihak. Tetapi harus diingat tempoh pertunangan yang panjang akan turut menyebabkan lebih banyak cabaran kepada kedua-dua pihak. Jadi si gadis dan teruna haruslah banyak bersabar dalam tempoh tersebut.
Apakah yang perlu dilakukan jika ikatan pertunangan diputuskan? Mengikut adat, jika ikatan pertunangan diputuskan oleh pihak lelaki maka segala barang hantaran termasuk cincin tidak boleh diminta kembali dari pihak perempuan. Namun sebaliknya jika ikatan tersebut diputuskan oleh pihak perempuan tanpa sebarang sebab yang kukuh maka pihak perempuan perlu memulangkan semula hantaran dalam nilai sekali ganda dari jumlah asal.
Namun begitu, jika kita lihat pada hari ini beberapa adat di atas sudahpun diringkaskan. Apa yang sering berlaku pada hari ini ialah acara merisik, meminang dan bertunang telahpun disekalikan. Ini mungkin disebabkan pada masa sekarang kebanyakan pasangan teruna dan dara telah pun mengenali antara satu sama lain dan persetujuan bersama telah pun dicapai. Jika dizaman dulu kebanyakan jodoh dicari oleh orang tua, situasi sekarang sudah berbeza. Cuma kita harap janganlah segala adat budaya ini nanti hapus ditelan zaman. Nanti jadilah kita seperti budaya orang putih – melamar dimerata-rata hatta di dalam rancangan TV macam pasangan pengacara tu. Tak manis sebenarnya.
Bagi wang dan barang-barang hantaran pula seeloknya biarlah ikut kemampuan dan poket. Janganlah hanya kerana nak ikut trend hingga sengsara selepas kahwin. Tak perlulah sampai beg tangan beribu-ribu, jam tangan dan sepatu berjenama yang keterlaluan mahalnya.
Apapun tulisan saya ini hanyalah sebagai panduan sahaja. Ianya bukanlah set undang-undang yang wajib diikuti. Mana yang boleh eloklah dipelihara. Seperti biasa, pendapat dan maklum balas anda semua amat dialu-alukan.
Jadilah orang pertama dikalangan rakan-rakan anda untuk berkongsi artikel ini melalui butang di bawah: