Fotografi Perkahwinan – Penggunaan Direct Flash
Dalam fotografi ada orang beranggapan bila kita shoot dengan menggunakan direct flash, ianya tidak cantik. Malah ada juga yang beranggapan jurugambar yang menggunakan direct flash adalah tidak professional. Itu adalah pendapat yang salah.
Sebenarnya ramai jurugambar profesional menggunakan direct flash – tetapi mereka tahu bila ianya harus digunakan dan bagaimana cara mengawalnya. Kebanyakan jurugambar akhbar menggunakan direct flash dalam situasi yang perlu – mereka tiada pilihan kerana mereka perlukan gambar untuk bahan berita dan dalam keadaan yang mana mereka tiada banyak masa atau ruang untuk mendapatkan foto tersebut – its do or die. Jadi mereka perlu menggunakan flash untuk memastikan gambar mereka cukup terang untuk disiarkan. Tapi sudah tentu mereka ini tahu cara mengawalnya – TTL, pengawalan secara manual atau menggunakan diffuser/softbox.
Direct flash juga biasa digunakan dalam penggambaran outdoor walaupun dalam cahaya yang terang. Saya pernah terdengar seorang tetamu di satu majlis perkahwinan mengkritik jurugambar kerana menggunakan direct flash dalam cuaca cerah ketika pengantin berarak. Sebenarnya penggunaan direct flash ini adalah untuk fill-in bagi mengurangkan bayang pada wajah pengantin. Jika tidak menggunakan fill flash ini kemungkinan juga wajah pengantin akan menjadi gelap kerana kesan backlight. Perlu diingat bahawa upacara perarakan pengantin tidak boleh diulang-ulang – itulah satu-satunya peluang untuk mendapatkan foto. Jadi jurugambar perlu memastikan imej yang didapati mempunyai exposure yang baik.
Imej di atas salah satu contoh gambar yang saya ambil menggunakan direct flash. Ia menimbulkan kesan vignette yang menarik pada imej tersebut.
Jadi bila kita melihat seseorang menggunakan direct flash dalam fotografi janganlan kita cepat membuat kesimpulan bahawa mereka itu tidak arif dalam fotografi.