6 Tips Kenduri Kahwin Secara Gotong Royong


  • Sumo

Rasanya dah lama juga saya tak lihat majlis kenduri kahwin diadakan dengan cara bergotong royong. Sepanjang tempoh lebih sepuluh tahun saya berkecimpung dalam bidang fotografi perkahwinan rasanya boleh dibilang dengan jari majlis-majlis kahwin yang dijalankan tanpa katering.

Antara yang saya ingat ialah kenduri meriah di kawasan felda di Batu Pahat, kemudian kenduri kahwin di Banting, majlis perkahwinan di Bota, Perak  dan yang terbaru ialah majlis perkahwinan Izeety dan Khairi yang diadakan di Felda Lepar 4, Pahang.

Bagi majlis perkahwinan Izeety dan Khairi ini, secara keseluruhannya iaitu dari segi masak-memasak, kemah, kerusi meja dan penanggah adalah secara gotong-royong. Hanya pelamin dan kanopi utama sahaja yang disewa. Bila kenduri diadakan secara kerjasama memang nampaklah kemeriahannya. Ada yang jaga bahagian makanan, masak nasi minyak, tukang goreng ayam, potong bawang, tukang jaga minuman, bahagian cuci pinggan mangkuk dan sebagainya. Untuk majlis yang diadakan seperti ini, pembahagian tugas adalah sangat penting.

Berikut saya kongsikan 6 tips penting untuk mengadakan kenduri secara gotong royong:

  1. Tetapkan jumlah tetamu yang akan hadir. Ini bagi membolehkan bajet untuk membeli bahan mentah secara efektif. Secara tak langsung ia dapat mengelakkan pembaziran akibat membeli bahan mentah berlebihan
  2. Bahagikan tugas mengikut bahagian-bahagian penting seperti memasak; penanggah; mencuci pinggan; logistik seperti kemah, kerusi meja, bahagian teknikal – letrik, bekalan air; bahagian hiasan; bahagian cenderamata tetamu dan jangan lupa bahagian kawalan lalu-lintas. Untuk setiap bahagian jangan lupa untuk melantik ketua yang akan bertanggungjawab untuk bahagian masing-masing.
  3. Tetapkan aturcara majlis secara terperinci. Ini dapat membantu ketua-ketua unit merancang tugas masing-masing dengan berkesan.
  4. Adakan mesyuarat dengan semua yang terlibat sebelum majlis – biasanya seminggu sebelum majlis. In bagi memastikan segala persiapan berjalan lancar.
  5. Sediakan checklist bagi memastikan tiada aspek yang terlepas pandang.
  6. Wujudkan whatsapp group – memandangkan kita dah ada teknologi terkini maka tiada salahnya untuk kita mengaplikasikan teknologi ini bagi memudahkan perhubungan antara tenaga kerja bagi majlis kenduri nanti.

Diharapkan tips-tips di atas dapat membantu anda untuk mengadakan majlis perkahwinan secara bergotong-rotong.

Penulis merupakan jurugambar perkahwinan yang beroperasi di Damansara, Kuala Lumpur. Jika ada sebarang pertanyaan atau tempahan untuk fotografi perkahwinan, pertunangan, harijadi, aqiqah, majlis korporat, portraiture, fashion show atau private shoot anda boleh hubungi saya di http://www.wasap.my/60173749707 atau 0163937067.