Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak-anak Yatim Anjuran Yayasan Taat
Alhamdulillah, pada bulan puasa yang lalu saya berkesempatan mengikuti satu majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim yang dianjurkan oleh Yayasan Taat. Ini merupakan job kedua saya bersama Yayasan Taat pada tahun ini. Sebelum bulan puasa saya diberi peluang untuk merakamkan Upacara Pecah Tanah Kompleks Anak-anak Yatim anjuran yayasan ini di Labu, Negeri Sembilan. Projek kompleks anak yatim di Labu merupakan hasil kerjasama dengan pihak Baitul Mal Negeri Sembilan.
Yayasan Taat ditubuhkan secara rasmi pada tahun 2010 dengan objektif utamanya adalah untuk membantu anak-anak yatim, fakir miskin, orang kurang upaya serta golongan berpendapatan rendah dalam bentuk kewangan, peralatan dan bantuan pelajaran.
Tulang belakang disebalik Yayasan Taat adalah YM Tunku Dato’ Zainol Alhaj bin Tunku Izham Alhaj yang juga merupakan pengasas yayasan ini. Turut memainkan peranan yang sangat penting adalah isteri beliau iaitu YBhg Datin Hjh Ramzia bt Hj Arshad. Untuk maklumat lanjut mengenai pertubuhan ini sila klik di SINI.
Sementara itu, majlis berbuka puasa di atas telah diadakan pada 5 Ogos 2012 bersamaan dengan 17 Ramadhan 1433 Hijrah di Kuala Lumpur Golf and Country Club. Sebelum berbuka puasa para tamu berpeluang mendengar tazkirah yang disampaikan oleh Ustaz Zulkarnain Hamzah dari Astro Oasis. Cara penyampaian beliau seperti mana yang dilihat di kaca TV memang menarik.
Berada di dalam majlis seperti ini bersama-sama anak-anak yatim sebenarnya amat memberikan keinsafan kepada kita yang lebih bernasib baik ini. Betapa mereka ini perlukan perhatian dan kasih sayang. Lebih membuatkan saya rasa terharu apabila melihat anak-anak yatim yang masih kecil umurnya – ada yang berusia 4 – 5 tahun. Bayangkan dalam usia semuda itu mereka telah tiada tempat bergantung.
Apa yang amat menarik perhatian saya melalui pemerhatian dengan lensa kamera adalah sikap tanggungjawab dan ambil berat antara satu sama lain anak-anak ini. Abang-abang serta kakak-kakak yang lebih besar sentiasa menjaga dan mengawal adik-adik mereka walau pun antara mereka ini ada yang bukan adik-beradik kandung. Semoga mereka ini sentiasa dipelihara oleh Allah swt. Dengan adanya pihak-pihak yang perihatin seperti Yayasan Taat ini diharapkan agar masa depan mereka lebih terjamin. Aminn…
Semua foto dan editing oleh: Nik Hamidi (6017-3749707 / 6016-3937067)