Perkahwinan Tema Klasik – Majlis Bertandang Rizal & Azeani
Rasanya dah agak lama saya tidak berkesempatan untuk mengutarakan posting baru dilaman blog ini. Bukannya tiada bahan atau dah tak berminat untuk update. Tetapi kesibukan yang melanda menyebabkan saya tidak berkesempatan untuk menulis. Job-job yang agak banyak dalam bulan Februari hingga Mei menyebabkan waktu untuk update blog agak terbatas. Sekarang saya dah boleh bernafas sikit. Album-album untuk bulan Februari, Mac dan April banyak yang telah siap. Cuma ada beberapa lagi yang perlu dikemaskini. Jadi adalah sedikit masa untuk update blog.
Kali ini saya ingin membawa anda semua ke Majlis Bertandang Rizal & Azeani yang berlangsung di Seksyen 24, Shah Alam. Walaupun majlis tersebut sudah lama berlalu namun ada sesuatu yang menarik untuk dikongsikan bersama iaitu konsep yang diketengahkan oleh Rizal.
Rizal merupakan peminat barangan antik dan mengumpul banyak barangan antik. Oleh itu beliau mengetengahkan idea klasik untuk perkahwinannya. Tema perkahwinan klasik ini dapat dilihat dengan jelas pada konsep pelaminnya yang sungguh unik dan menarik. Latarbelakang pelamin dibuat menggunakan papan terpakai. Ianya dihias dengan jam loceng serta frame dengan gambar pengantin. Di kiri-kanan pelamin pula dihiasi dengan radio antik dan juga gramofon. Bagi yang tak tahu, gramofon adalah pemain piring hitam lama. Turut dijadikan hiasan adalah beg kotak lama, mesintaip, bekas makanan dan juga lampu ayam. Menurut Rizal barangan ini ada yang dimilikinya dan ada juga yang dipinjam dari rakannya.
Yang paling menarik ialah sebuah Vespa berwarna putih yang turut diletakkan sebagai props di sebelah pelamin. Tidak hairan jugalah apabila perarakan pengantin diiringi oleh kumpulan Vespa. Rizal sendiri menunggang sebuah vespa yang turut dibonceng oleh Azeani. Memang style dolu-dolu beb. Outdoor photoshoot juga dibuat dengan konsep ala klasik dengan vespa sebagai props utama.
Di sini saya kongsikan beberapa foto dari majlis tersebut untuk tatapan bersama. Anda adalah dialu-alukan untuk berkongsi posting ini dengan rakan-rakan melalui butang sharing yang terdapat di blog ini.