6 Cara Bagaimana Untuk Mendapatkan Pose Menarik Dari Pengantin Dalam Foto Kahwin
Di dalam menjalankan tugasan sebagai jurugambar perkahwinan satu perkara utama yang harus diberikan penekanan ialah bagaimana untuk mendapatkan pose-pose menarik dari pengantin. Haruslah diingat bahawa pelanggan untuk fotografi perkahwinan adalah orang biasa dan bukannya model professional (kecuali jika memang mereka bekerja sebagai model!). Seringkali bakal pelanggan yang menghubungi saya akan bertanyakan soalan berikut: “Saya ni tak pandai nak posing, macam mana ya? Abang boleh ajar ke?”.
Setengah orang memang mempunyai kebolehan untuk relaks dan begitu bersahaja di depan kamera. Tetapi sepanjang pengalaman saya berkecimpung dalam bidang fotografi perkahwinan golongan ini amat jarang ditemui. Kebiasaannya pengantin lelaki lebih kaku di depan kamera berbanding pengantin perempuan. Kebanyakan pengantin perlukan sedikit tunjuk ajar dan perlu diberikan keyakinan untuk beraksi di depan kamera. Jadi sebagai jurugambar anda bertanggungjawab untuk menjadikan mereka selesa beraksi di depan kamera. Ada beberapa tips yang boleh diamalkan untuk memudahkan tugasan.
- Breaking the ice – sebelum sesi fotografi berlangsung adalah penting untuk kita mengenali pelanggan kita terlebih dulu. Seelok-eloknya datang awal ke lokasi untuk berbual-bual dengan mereka. Cuba bertanyakan sedikit sebanyak tentang latar belakang mereka, minat mereka, pekerjaan, latar belakang keluarga, bagaimana mengenali pasangan dan sebagainya. Cara ini dapat menjadikan mereka merasakan kita seperti kawan dan mereka akan lebih relaks. Kebiasaannya sesi bersolek adalah waktu yang baik untuk kita berbual-bual dengan mereka dan bertanyakan hal-hal tersebut di atas.
- Menanamkan Keyakinan Kepada Pelanggan – Foto yang menarik biasanya datang dari pelanggan yang mempunyai keyakinan diri yang tinggi. Jika mereka ragu-ragu ini akan jelas terlihat di dalam foto. Bagaimana caranya menjadikan mereka yakin? Satu cara yang mudah ialah dengan memuji mereka. Cuba gunakan perkataan seperti `Excellent’, `Awesome’, `Handsome’, `Cunlah’, `Cantekk’ sebagai maklumbalas sesudah anda mendapatkan shot-shot anda. Cara ini juga dapat menjadikan mereka excited untuk shot-shot seterusnya.
- Berikan arahan dengan jelas – Setiap arahan yang anda berikan hendaklah jelas. Jika anda mahukan pelanggan pusing kekanan anda seeloknya katakan pada mereka “Pusing ke kiri awak” – arahan ini adalah lebih jelas dan juga mengelakkan kekeliruan. Ini kerana sebelah kanan anda bermakna sebelah kiri pelanggan. Menggunakan arahan seperti gerak kesebelah sana atau ke situ (sambil menunjukkan dengan tangan) juga adalah lebih berkesan.
- Berikan arahan dengan sopan – Anda adalah art director untuk setiap foto yang diambil. Namun begitu elakkan dari menggunakan perkataan dan arahan yang nampak seperti bossy. Anda bukanlah mengarahkan sebuah drama atau filem yang mana pelakonnya dibayar, sebaliknya anda memberi arahan kepada pengantin yang membayar gaji anda. Pilihlah perkataan yang sesuai seperti: “Kalau boleh cuba bengkokkan sedikit lutut awak” atau pun ” Saya cadangkan awak pusing ke kiri sedikit”.
- Alihkan tumpuan pengantin – jika pengantin menghadapi masalah untuk relaks dan memang kaku cuba alihkan tumpuan mereka dengan memperkenalkan props yang membolehkan anda mengambil gambar mereka dalam keadaan melakukan aktiviti. Ini dapat menambahkan keceriaan dan disamping itu dapat menimbulkan suasana yang lebih santai dan bersahaja. Antara contoh props dan aktiviti yang boleh digunakan adalah seperti meniup buih sabun, bermain layang-layang, gitar, belon gas dengan tali dan sebagainya. Cara ini juga amat berkesan untuk fotografi kanak-kanak.
- Timbulkan suasana riang – Sentiasa cuba dapatkan suasana yang ceria semasa sesi fotografi. Cuba berjenaka dan usik mengusik bagi menimbulkan suasana ini. Kadang-kadang anda terpaksa membuat lawak bodoh untuk mendapatkan keadaan ini – by all means, do it! Juga cuba dapatkan seberapa ramai rakan, adik beradik atau sepupu pengantin untuk bersama-sama dalam sesi ini. Cara ini dapat menambahkan suasana meriah dan gembira. Senyuman pengantin nescaya akan lebih natural.
Akhir kata, fotografi perkahwinan sepatutnya menjadi satu sesi yang menyeronokkan bagi jurugambar dan pasangan pengantin. Jika semuanya gembira dan enjoy dalam sesi fotografi maka ianya pasti akan diterjemahkan di dalam foto yang terhasil.
Kongsikan artikel ini secara percuma dengan rakan-rakan anda melalui Social Sharing button di bawah.