Inai Dalam Perkahwinan
Inai disapu di jari tandanya mesra
Memberitahu hai dikau sudah berpunya
Merah bercahaya bibirnya penuh bermakna
Di jari manisnya tersarung cincin permata
Itulah antara lirik lagu Inai di Jari yang pernah dipopularkan oleh penyanyi 60an S. Jibeng. Lagu tersebut begitu sinonim dengan majlis perkahwinan. Begitulah juga halnya dengan inai itu sendiri.
Tak lengkap rasanya bakal mempelai tanpa memakai inai dijari, terutamanya pada si gadis. Inai melambangkan seseorang itu bakal menjadi raja sehari. Pada posting kali ini saya akan berkongsi mengenai inai dan apa fungsinya pada sesebuah majlis perkahwinan.
Jika dibandingkan pada masa dahulu, inai dibuat secara bersama oleh ahli keluarga si mempelai. Jika di kampung pokok inai ini banyak ditanam di tepi-tepi rumah. Daun inai ini hendaklah direndam terlebih dahulu dengan air, agar mudah ditumbuk atau digiling. Ianya dilakukan secara bergiir-gilir kerana agak susah untuk menyiapkannya. Setelah siap, inai ini dipakai di hujung jari jemari tangan dan kaki serta di sekeliling kaki sigadis. Setelah inai ini kering warna inai akan menyerap ke kulit. Warna yang terhasil ini bergantung kepada jenis warna kulit dan suhu badan seseorang itu. Jika anda berkulit putih warna inai akan menjadi jingga bercampur merah. Jika warna kulit anda kuning langsat maka warna inai akan menjadi sedikit gelap. Bagi yang berkulit hitam manis pula warna inai akan menjadi warna merah hati.
Pada zaman ini trend berinai sudah berubah. Ianya menjadi lebih moden apabila ianya ditambah dengan pelbagai bentuk ukiran atau dikenali sebagai “henna”. Inai jenis ini kita tidak perlu bersusah payah dalam penyediaannya dan sangat mudah didapati di kedai-kedai. Pendek kata beli saja dah boleh terus dipakai. Jika dahulu inai jenis ini hanya dipakai oleh pengantin berbangsa India,tetapi sekarang majoriti pengantin yang berbangsa Melayu sangat menggemari inai jenis ini. Tak salah mencubanya cuma biarlah bentuk ukiran yang dipilih oleh bakal pengantin itu sesuai dan tidak kelihatan terlalu sarat ditangan. Memadai dengan hanya ukiran yang berbentuk bunga-bungaan yang sederhana untuk kelihatan cantik dan manis dihari bersejarah nanti. Adalah penting untuk mengelakkan corak yang mempunyai unsur-unsur Hindu.
Terdapat dua majlis yang berkaitan dengan inai ini iaitu majlis berinai kecil dan majlis berinai besar. Untuk majlis berinai kecil kebiasaannya inai ini dipakai tiga atau empat hari sebelum berlangsungnya majlis berinai besar atau dahulu ianya dipanggil “inai curi”. Pada masa itu si gadis akan dipakaikan inai dan dia tidak boleh kemana-mana sehingga keringnya inai tersebut. Dari situlah saudara mara yang datang dapat mengenali yang mana satu bakal pengantin. Untuk majlis berinai besar pula ianya akan dihadiri oleh kaum keluarga terdekat. Si gadis akan disandingkan berseorangan di atas pelamin. Sanak saudara yang hadir akan mencalitkan sedikit inai di tangan si gadis sebagai simbolik yang si gadis akan menamatkan zaman daranya. Ada juga yang menjemput pihak lelaki untuk turut serta di dalam majlis ini. Walaupun pihak lelaki hadir bersama ianya tetap dilakukan secara berasingan. Majlis biasanya didahului pihak perempuan dan diikuti pihak lelaki. Rasanya lebih meriah jika ianya disambut bersama kedua-dua pihak bagi merestui hubungan yang bakal terjalin.
Perihal inai sudah, perihal majlis berinai pun sudah. Sekarang saya ingin berkongsi sedikit tips untuk mengekalkan warna dan juga mengelakkan warna inai terlalu cepat pudar. Seelok-eloknya inai yang sudah kering ianya tidak perlu dibasuh dengan air. Ianya hanya perlu dibuang dengan menggunakan jari dan jika masih ada lagi lebihan inai yang tertinggal cukup sekadar menghilangkannya dengan “baby oil”. Juga disarankan agar tidak terlalu lama merendam atau menggunakan sabun yang boleh melunturkan warna inai dijari anda.
Diharapkan agar posting ini dapat membantu bakal-bakal pengantin yang bakal melalui upacara berinai ini. Bagi saya berinai ini sekadar untuk menambahkan seri dan memeriahkan majlis. Ianya bukanlah satu ritual yang mesti diadakan.
Penulis: Fatimah Ishak, Jurusolek di Naziema Cantik de’ Touch (017-3872916)
Editor: Nik Hamidi , Principal Photographer di Pixelworks Studio (017-3749707/ 016-3937067)
Photo: Nik Hamidi
Apa lagi! Share lah dengan rakan2 FB atau Twitter anda!