© Copyright 2016
NikHamidi Photography

Memilih Tarikh Perkahwinan


  • Sumo

Wedding Guests Book
Sudahkah anda memilih tarikh perkahwinan anda? Jika belum tentunya anda sedang tercari-cari tarikh pilihan.

Untuk memilih tarikh perkahwinan terutamanya tarikh akad nikah bukanlah semudah yang disangka. Ada faktor-faktor tertentu yang perlu diambil kira sebelum menetapkan sesuatu tarikh. Apatah lagi ianya melibatkan kaum keluarga di kedua-dua belah pihak.

Antara faktor-faktor yang sering diambilkira dalam menetapkan tarikh adalah memastikan semua kaum keluarga dan sanak-saudara terdekat dapat hadir. Kadang terdapat kes yang mana Mak Long boleh datang, tetapi Pak Ngah pula tak boleh cuti tarikh tersebut. Ada juga masalah yang mana adik yang belajar di luar negara tak dapat balik walaupun semua yang lain dah ok. Bukan itu saja, ada juga kes di mana pihak sebelah perempuan sudah setuju tapi pihak lelaki pula tak dapat memenuhi tarikh tersebut dan sebaliknya. Sebab itulah kebanyakan majlis perkahwinan banyak dilakukan pada musim cuti sekolah di mana kebarangkalian untuk mereka dapat hadir adalah lebih tinggi. Dan sebab itu jugalah hampir semua perkahwinan di Malaysia dijalankan pada hari Jumaat (Nikah), Sabtu atau Ahad.

Disamping itu terdapat ramai juga dikalangan rakyat negara ini yang mungkin terpaksa mengadakan majlis perkahwinan di dewan atau hotel. Dalam situasi ini mereka tiada pilihan selain terpaksa menetapkan tarikh mengikut kekosongan venue.

Seperkara lagi yang agak popular sekarang ialah memilih tarikh mengikut rupa nombor itu sendiri. Pasangan pengantin seringkali inginkan nombor yang mudah diingati. Maka itu ramailah juga yang memilih untuk bernikah pada tarikh hari lahir mereka. Ada juga yang berkahwin pada tarikh tertentu berdasarkan kepada nombor cantik. Jika kita lihat pada tahun 2011 yang lalu beberapa tarikh yang menjadi pilihan ramai adalah 1 Jan 2011 (1.1.11), 20 Jan 2011 (20.1.2011), 9 Okt 2011 (9.10.11), 11 Nov 2011 (11.11.11) dan juga 20 Nov 2011 (20.11.2011). Pada tarikh yang saya senaraikan itu semua jurugambar dan cinematografer kami habis ditempah oleh kerana banyaknya perkahwinan dilangsungkan pada tarikh tersebut.

Namun pada tahun 2012 seperti yang saya lihat tidak ada banyak tarikh-tarikh cantik. Walaubagaimanapun terdapat 4 tarikh yang harus diberi perhatian pada tahun 2012 iaitu 10.11.12, 11.11.12, 1.12.12, 21.12.12 dan juga 22.12.12. Jadi jika tarikh perkahwinan anda telahpun ditetapkan pada salah satu tarikh tersebut cepat-cepatlah mencari jurugambar perkahwinan anda kerana besar kemungkinan kebanyakan jurugambar akan ditempah awal untuk tarikh tersebut. Saya sendiri sudah mendapat tempahan untuk tarikh 11.11.12 dan 22.12.12.

Bagi orang-orang lama pula terdapat beberapa ciri lagi yang diambil perhatian dalam memilih tarikh. Ada pendapat yang mengatakan tidak boleh bernikah pada hari Sabtu dan Ahad dibulan Zulhijjah, Muharam dan Safar. Ada juga pendapat yang mengatakan tidak elok mengadakan majlis walimatul urus di bulan Syawal dan Muharram. Namun sejauh mana kebenaran pendapat ini tidaklah diketahui. Tidak juga terdapat mana-mana hadis bagi membuktikan dakwaan tersebut. Nabi Muhammad s.a.w sendiri berkahwin dengan Aishah r.a. pada bulan Syawal. Puterinya Fatimah pula dikahwinkan pada bulan Safar.

Dalam situasi memilih tarikh ini perbincangan antara kedua belah pihak adalah perlu. Pihak perempuan tidak bolehlah memilih tarikh mengikut kehendak mereka sahaja dan sebaliknya. Semoga kata putus bersama dapat dicapai. Namun haruslah diingat bahawa perkahwinan adalah sesuatu yang baik, oleh itu janganlah kerana perdebatan tentang tarikh yang baik menjadikan majlis tersebut ditunda. Tak perlulah nak dapat 100% kehadiran orang tertentu. Dapat 90% pun dah cukup baik. Begitu juga dengan tarikh-tarikh yang dikatakan tidak sesuai dalam Islam – sebenarnya tiada satu pun dalil tentang perkara tersebut. Ia hanyalah satu kepercayaan turun-temurun yang tidak diketahui dari mana asalnya-usulnya.

Jadi fikir-fikirkanlah. Dan jangan lupa share dengan kawam-kawan melalui butang sharing di bawah. Sharing is caring. Caring is loving!