© Copyright 2016
NikHamidi Photography

Menggunakan Ahli Keluarga, Kawan atau Saudara Sebagai Official Photographer?


  • Sumo

Jika ada majlis perkahwinan yang melibatkan saudara mara atau pun kawan-kawan terdekat, saya kebiasaannya agak keberatan untuk menjadi official photographer. Ini bukanlah disebabkan saya takut mereka ini meminta harga murah atau pun saya berkira dengan saudara-mara. Sebelum saya terangkan rasionalnya, biar saya terangkan tugas-tugas sebagai official photographer.

 

Secara dasarnya jurugambar bertindak merakamkan sejarah yang berlaku pada hari perkahwinan tersebut. Tugas ini bermula seawal pengantin membuat persiapan seperti bersolek, penyediaan makanan, persiapan tempat majlis seperti pelamin, meja makan dan sebagainya. Oleh itu jurugambar biasanya perlu datang awal.

 

Sewaktu majlis berlangsung pula, jurugambar perlu merakamkan detik-detik yang berlaku seperti ketibaan pengantin, ketibaan tetamu, upacara akad nikah, sarung cincin,  perarakan pengantin, persandingan, merenjis dan banyak lagi. Jurugambar juga akan merakamkan gambar pengantin bersama kaum keluarga, saudara mara, teman-teman dan lain-lain lagi.

 

Tugasan itu pula biasanya tidak akan berakhir walaupun setelah semua tetamu pulang. Ini disebabkan kebiasaannya setelah selesai majlis tersebut, akan berlangsung pula outdoor photoshoot.

 

Secara kasarnya jika majlis akad nikah dan resepsi berlangsung dalam hari yang sama  jurugambar perlu bertugas selama lebih kurang 9 hingga 10 jam. Bagi satu majlis sahaja (akad nikah sahaja atau resepsi sahaja) jurugambar perlu berada di lokasi selama 4 hingga 6 jam.

 

Jika saya ke majlis perkahwinan saudara-mara atau pun rakan-rakan kebiasaannya saya akan datang bersama kaum keluarga (ibu bapa, isteri dan anak-anak).  Apabila berada di dalam majlis, sudah tentulah saya ingin bertemu dan juga berbual-bual dengan saudara mara dan juga rakan-rakan. Biasanya dalam majlis yang sebeginilah kita berpeluang bertemu dan bertanya khabar.

 

Andainya saya bertindak sebagai official photographer sudah tentu saya tidak dapat meluangkan waktu untuk berjumpa dan berbual panjang dengan mereka. Disamping itu juga, adalah dikhuatiri jika sudah berjumpa dan berbual saya akan terlupa tugas sebenar sebagai jurugambar dan akhirnya terlepas banyak shot menarik dan penting.

 

Komitmen sebagai official photographer adalah besar. Ia memerlukan tumpuan yang tinggi dan waktu di lokasi yang panjang. Jika saya datang dengan anak-anak untuk majlis perkahwinan dan perlu mengambil berat tentang mereka juga, sedikit sebanyak ianya akan mengganggu tumpuan sebagai official photographer.

 

Jadi, apabila memikirkan itu semualah maka saya agak keberatan untuk menjadi official photographer bagi majlis perkahwinan saudara-mara atau rakan-rakan terdekat. Saya tidak mahu kualiti kerja yang saya hasilkan tidak baik kerana tidak dapat memberi 100% tumpuan dan komitmen.

 

Dan bagi bakal-bakal pengantin yang ada rancangan untuk meminta bantuan rakan-rakan atau pun saudara-mara sebagai official photographer anda bolehlah renung-renungkan tentang apa yang saya sebutkan di atas.

 

Anda telah berhabisan ribuan ringgit untuk barang-barang hantaran, pelamin, perhiasan, pakaian yang indah-indah, solekan yang out of this world, makanan yang lazat-lazat dan pelbagai-bagai lagi. Anda sudah tentu mahukan semua itu termaktub dalam sebuah album perkahwinan yang cantik dan lengkap. Jadi adalah penting bagi memperuntukkan sebahagian perbelanjaan untuk mendapatkan khidmat jurugambar professional.

 

Jangan pula nanti ada yang bermasam muka sesama saudara kerana dia yang ditugaskan mengambil gambar lebih banyak berbual dan banyak shot yang tidak dicover.

 

Renung-renungkan… Have a nice day!